Muhammad al_Fateh



TRADISI PENGANUGERAHAN IJAZAH DALAM PENDIDIKAN ISLAM


E-mail this post



Remember me (?)



All personal information that you provide here will be governed by the Privacy Policy of Blogger.com. More...



Oleh : Dr. Mesut Idriz
Suntingan dan Terjemahan : Hairil Irza Ramli

1.0 Ta’rif Ijazah
Perkataan ‘Ijazah’ berasal daripada bahasa Arab yang diambil dari kata dasar ‘ajaza’. Ibn Manzur mengungkapkan di dalam kitabnya Lisan al – ‘Arab dengan merujuk kepada ilmu etimologi , ia bermaksud bersandar di atas sesuatu sepertimana bersandar di atas kusyen. Imam an – Nawawi di dalam kitabnya at – Taqrib wa at – Taysir li Ma’rifati Sunan al – Bashir al – Nazir pula menyebut Kata Kerja ‘Ajaza’ merujuk kepada air yang digunakan untuk mengairi tanah lapang (seperti sawah) atau air yang menghilangkan dahaga seseorang . Akhir sekali, al – Fayruzabadi di dalam al – Qamus al – Muhit menyatakan ia bermakna untuk memberi kebenaran, lesen atau kuasa / hak .
Dari segi istilahnya, berdasarkan kepada Ibn Manzur, kata nama Ijazah merujuk kepada hak yang diberikan ke atas seseorang pelajar untuk menyokong ilmu pengetahuannya dalam sesuatu bidang. Bagi Imam an – Nawawi, para pelajar meminta profesor (pensyarah) untuk memberikan ijazah kepada mereka secara simboliknya untuk menghilangkan dahaga mereka terhadap ilmu pengetahuan. Dan bagi al – Fayruzabadi berhubung dengan pendidikan, ia merujuk kepada memberikan kebenaran untuk mengajar.
Istilah ijazah di dalam ilmu pendidikan Islam secara umumnya bermaksud lesen (kebenaran) untuk mengajar, dan secara khususnya ia merujuk kepada sijil yang dikeluarkan oleh seseorang profesor / pensyarah di dalam sesebuah institusi pengajian tinggi kepada seseorang pelajar yang mengikuti sesuatu kursus pengajian (dan akan dianugerahkan ijazah) berdasarkan penilaian profesor / pensyarah (yang mengajar kursus tersebut), dan juga kepada sesiapa (pelajar) yang difikirkan sudah cukup kelayakannya menyampaikan subjek (ilmu) yang sama kepada anak muridnya sendiri .
Maka, ijazah dikeluarkan oleh seseorang tenaga pengajar (al – Mujiz seperti profesor, pensyarah, syeikh, guru dan sebagainya) yang menganugerahkan lesen (kebenaran) untuk memindahkan segala ilmu yang telah disampaikan. Umumnya, ijazah mengandungi senarai tajuk buku / kitab atau kompilasinya serta subjek yang telah dikuasai untuk dipindahkan dan dengan itu,lesen (kebenaran) akan diberikan. Pemindahan dari tenaga pengajar ini boleh jadi dalam bentuk umum ataupun khusus. Rangkaian pemindah (perawi) atau lebih tepat disebut sebagai sanad ini akan berakhir pada pengarang buku / kitab yang dipelajari, Nabi Muhammad SAW atau selain mereka .

2.0 Tradisi Penganugerahan Ijazah Dalam Dunia Islam dan Kepentingannya
Menurut tradisi kaum muslimin, orang yang paling berautoriti untuk menyampaikan (‘ilmu) adalah Rasulullah SAW, insan yang dipilih oleh ALLAH SWT untuk menerima wahyu, pengetahuan agama (‘ilmu) yang diperlukan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat; yang disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. ‘Ilmu ini dipindahkan secara lisan oleh Rasulullah SAW kepada para Sahabatnya (ashaab, sahabah jama’ daripada saahib) yang kemudiannya disampaikan pula kepada at – Taabi’in dan kemudian kepada tabi’ at – Taabi’in. Begitulah seterusnya beberapa kurun sehingga sampai kepada para ulama’ (mufrad : ‘alim); sepertimana periwayatan hadith yang berkait dengan perkataan, perbuatan, taqrir dan sifat Rasulullah SAW yang juga disebut sebagai Sunnah. Method ataupun cara periwayatan ialah dengan mendengar hadith, membaca, menghafaz dan kemudian menyebutnya dengan kuat sepertimana cara Nabi SAW berhadapan dengan Jibril a.s ketika menerima wahyu pertama (al –Quran) daripada ALLAH SWT di Gua Hira’.
Ijazah dianugerahkan melalui dua cara; secara lisan and tulisan. Akan tetapi, jika di tinjau dari sudut sejarahnya, penganugerahan ijazah secara lisan lebih dipraktikkan berbanding secara tulisan . Sebelum ijazah mempunyai maksud yang luas, ia hanya berperanan sebagai salah satu dari lapan method dalam menentukan kesahihan periwayatan sesuatu hadith, dan akhirnya hadith dapat diklasifikasikan mengikut darjat kepercayaan (thiqah) seseorang perawi melalui ucapan mulut . Para muhadtihin adalah golongan pertama yang menggunakan istilah ini demi memelihara kepentingan ‘ilmu. Oleh kerana itu, merekalah Muslim yang paling awal menyedari kepentingan penulisan sesuatu ‘ilmu yang kemudiannya ia digunakan secara meluas di dalam bidang ‘ilmu yang lain .
Oleh itu, istilah pertama yang dikaitkan dengan ijazah berasal dari kata kerja “sami’ah” yang bermaksud mendengar. Kata terbitannya “sama’ “ telah digunakan di dalam pengajian hadith yang membawa makna ijazah pendengaran (ijazat as – sama’). Ijazah ini kemudiannya dikepilkan bersama di dalam buku / kitab atau penulisan – penulisan lain yang mengesahkan pemiliknya dan kemungkinan ada orang selain beliau dinamakan (di dalam ijazah) yang juga mempelajari material tersebut di bawah pengawasannya. Profesor / pensyarah akan membenarkan orang yang dinamakan itu menyampaikan segala kandungan buku / kitab atau ‘ilmu atas dasar beliau sebagai penulis buku / kitab tersebut atau sebagai salah seorang yang layak memberikan autoriti kepada orang lain.
Elemen yang terkandung dalam ijazah pendengaran (ijazat as – sama’); antaranya penganugerah yakni profesor, pensyarah, guru, syeikh atau sebagainya yang dipanggil sebagai Musmi’, pembaca yang digelar Qaari’, orang yang mendengar – Saami’ dan penulis ijazah yang juga disebut sebagai kaatib, kaatib as – sama’, kaatib at – Tabaqah ataupun muthbit as – sama’ . Termasuk di dalam ijazah pendengaran ini adalah membaca teks atau menyebut dari ingatan. Pembacaan ini berkaitan sama ada yang berhubung dengan al – Quran ataupun hadith, kedua – duanya (mendengar dan membaca) saling berkait dan kadang – kadang menjadi sinonim antara qaraah dan sami’ah .
Ijazah dalam meriwayatkan hadith mengandungi memberi kebenaran kepada seseorang untuk melakukan perkara yang sama yakni meriwayatkan hadith kepada orang lain. Kuasa dan memberi kuasa untuk meriwayatkan adalah dua perkara yang boleh dipindahkan. Selain ijazah untuk meriwayatkan hadith, ijazah – ijazah dalam bidang lain turut mula meluas penggunaannya sepertimana lesen untuk mengajar hukum – hakam, al – Ijazah li at – Tadris. Dengan perkembangan fiqh (hukum – hakam), lesen bukan sahaja dalam memelihara hadith tetapi ia melangkah setapak ke hadapan dengan wujudnya lesen untuk mengajar .
Ijazah untuk mengajar ini dikeluarkan pertama kali di Baghdad seawal kurun ketiga Hijrah. Kemudian, pada kurun keempat, penggunaannya menjadi universal dalam prosedur pendidikan di seluruh tanah Islam. Selepas itu, ia berkembang pesat kepada subjek – subjek lain (selain agama) dan profesor / pensyarah akan menganugerahkan ijazah kepada pelajarnya yang mencapai tahap pencapaian yang sangat memuaskan dalam sesuatu kursus yang diajar oleh profesor / pensyarah terbabit. Semasa peringkat awal, ijazah (lesen) lazimnya ditulis di atas helaian kosong yang terdapat di dalam buku / kitab yang dipelajari .

a) Peperiksaan
Ijazah akan dikeluarkan setelah profesor / pensyarah berpuashati dengan pencapaian pelajar mereka di dalam ujian lisan yang diadakan. Pada peringkat pertama proses peperiksaan, para pelajar akan diuji dengan kemahiran berhujah dan berbahas untuk mempertahankan tesis atau sekumpulan tesis – tesis yang ditulis oleh mereka. Apabila terbukti kecekapan dan kepandaian mereka, ijazah (lesen) untuk mengajar hukum – hakam (fiqh) akan dianugerahkan kepada mereka. Perkembangan ijazah dalam bidang fiqh sejajar dengan perkembangan awal ijazah dalam bidang hadith. Peperiksaan juga mengambilkira buku / kitab yang dipelajari oleh pelajar. Sebagai contoh, Ibrahim b Makram al – Shirazi telah dianugerahkan ijazah mengajar hukum – hakam dan lesen untuk mengeluarkan fatwa oleh 2 orang profesor, pada masa yang sama juga beliau telah diuji oleh beberapa orang profesor berdasarkan kandungan buku – buku (yang telah dipelajarinya). Akhirnya, beliau dikurniakan ijazah untuk mengajar buku – buku tersebut .

b) Umur Pelajar ketika menerima Ijazah
Kebiasaannya, ijazah akan dikurniakan pada peringkat umur matang iaitu dalam lingkungan 30 – an, 40 – an dan ke atas disamping tidak dinafikan ada sesetengahnya memperolehi ijazah dalam usia masih muda. Ulama’ besar fiqh dari Syria, al – Awza’i telah mengeluarkan fatwanya dalam usia tiga belas tahun. Muslim b Khalid, salah seorang ulama’ besar mazhab as – Syafi’e telah dianugerahkan ijazah pada usia lima belas tahun. Tajud Din as – Subki pula mendapat ijazah untuk mengajar hukum – hakam dan lesen mengeluarkan fatwa pada usianya yang baru mencecah lapan belas tahun dan sebenarnya banyak lagi contoh yang seangkatan dengan mereka. Yang nyata, kemahiran mereka berhujah dan berbahas dikuatkan lagi dengan ingatan yang kuat .
Kesemua kes yang disebutkan adalah satu keadaan yang luar biasa. Apabila autorirti menganugerahkan ijazah menjadi hak peribadi, ia bergantung kepada seseorang profesor / pensyarah dalam mengeluarkannya. Sesetengah mereka begitu teliti dan sukar menganugerahkan ijazah. Sepertimana seorang ulama’ fiqh, Abu Ishaq Ibrahim b Yahya al – Dimashqi telah menjadikan para pelajarnya sangat sukar mendapatkan ijazah daripadanya, beliau sering ‘mengagalkan’ mereka dan mengatakan bahawa mereka belum lagi layak (memperolehi ijazah) . Begitu juga ‘Uthman b Sa’id Uthman Abu Umar dan lain – lain. Namun, sebaliknya ada sebahagian pelajar pula sangat rendah diri dan menyatakan bahawa mereka belum lagi mahir dan layak untuk menerima ijazah, kerana memikirkan ia merupakan tanggungjawab yang amat besar untuk dipikul dan oleh sebab itu, mereka mengelak dari menerimanya, seperti kes Ibn Hubaysh, beliau berkata:”Wahai Tuhan, aku tidak layak menerima ijazah....”

c) Ijazah sebagai Hak Peribadi
Kuasa dan kelayakan (untuk menganugerahkan ijazah) hanya pada ‘alim, iaitu orang yang paling faham dalam hal – ehwal agama, terutamanya pakar dalam hukum – hakam Islam, faqih (jama’ – fuqaha’). Apabila seseorang guru / syeikh / faqih mengurniakan ijazah kepada anak muridnya, dia sebenarnya menggunakan hak peribadinya yang sah dan kelayakan yang ada pada dirinya sebagai seorang individu bukannya mewakili mana – mana kumpulan guru / syeikh / pensyarah yang diletakkan di bawah satu fakulti (sepertimana sekarang). Jika ditinjau dari sejarahnya pada zaman moden ini, ijazah adalah hak peribadi individu untuk mengeluarkannya iaitu daripada seorang ‘alim kepada anak muridnya. Pemerintah dan pihak berkuasa tiada ada hak mencampuri urusan ini sekalipun dia seorang khalifah, sultan, amir, qadi dan lain – lain. Islam tidak seperti gereja, tiada kuasa seperti paderi, tiada universiti dan tiada persatuan guru / syeikh / pensyarah untuk mengurniakan ijazah melainkan seorang guru / syeikh / pensyarah. Tiada seorangpun boleh memaksa dan menahan mereka daripada mengurniakan ijazah. Dengan ini, garisan agama dapat ditegakkan bukan melalui pemerintah, tetapi dengan kebijaksanaan para ulama’. Tambahan pula, institusi yang dipunyai oleh ulama’ ini bebas dari kongkongan pemerintah dan tidak memerlukan kelulusan mereka untuk mewujudkannya (institusi). Sesungguhnya, pemerintah tiada hak mencampuri urusan memberi ijazah sekalipun dia mengasaskan sesebuah institusi terbabit (kecuali sekiranya beliau terbukti juga seorang ‘alim). Pendidikan Islam seperti juga Undang – undang Islam bersifat individu dan peribadi .

d) Jenis – jenis Ijazah
Terdapat 6 jenis ijazah dan disebutkan sepertimana di bawah :-
1. Ijazah Khusus : Ijazah ini dikurniakan dari orang tertentu kepada orang tertentu yang lain. Ada 4 asas yang terdapat pada ijazah yang paling berprestij ini; menyatakan nama profesor / pensyarah yang mengajar, nama pelajar, nama subjek / matapelajaran dan pengakuan (tenaga pengajar) dengan perkataan ‘ajaztu’
2. Ijazah Tidak Khusus : Ijazah ini juga menyatakan nama profesor / pensyarah yang mengajar akan tetapi nama subjek digugurkan atau tidak dinyatakan. Profesor / pensyarah akan menyatakan dengan lisan bahawa mereka (pelajarnya) dikurniakan kebenaran menyampaikan segala apa yang telah mereka pelajari daripadanya tanpa mengkhususkannya pada sebarang buku / kitab atau subjek
3. Ijazah Umum : Nama profesor / pensyarah dinyatakan, akan tetapi para pelajarnya adalah dalam satu kumpulan dan tidak diperincikan nama mereka dan kebenaran secara umum diberikan kepada mereka untuk menyampaikan ilmu dalam sesuatu subjek
4. Ijazah dalam buku / kitab tertentu : Ijazah jenis ini sangat terperinci. Profesor / pensyarah memperakui pelajar tertentu telah tamat mempelajari sebuah buku / kitab daripadanya atau dia mengingati teks tertentu. Hanya setelah pelajar membuktikan kecekapannya akan dikurniakan ijazah ini
5. Ijazah melalui perutusan atau surat ; Ijazah ini hanya untuk pengajian hadith. Ia berlaku apabila seorang ‘alim menulis teks tertentu (hadith) dan menghantarnya kepada seorang atau lebih anak – anak muridnya, disertai dengan “perutusan / surat” yang memberi kebenaran kepada mereka meriwayatkannya kepada pelajar lain apa yang telah ditulis oleh profesor / pensyarah mereka
6. Ijazah Kehormat ; Ijazah ini hanya terhad untuk ulama’ sahaja, dan sering bertukar – tukar (ijazah ini) sesama mereka sebagai tanda hormat dan menghargai jasa mereka
Jika diteliti, kita akan mendapati setiap ijazah mempunyai perbezaan. Namun, satu karakter umum yang sama bagi ijazah – ijazah ini dan sepertimana yang disebut pada awal tadi ialah kesemuanya bersifat peribadi bukan institusi. Sesungguhnya, inilah kriteria pensijilan yang paling menonjol dan terkemuka dalam Pendidikan Umat Islam.

e) Kepentingan Ijazah
Nilai ijazah pada pelajar moden semasa zaman ketemadunan Islam sangat tinggi. Kepentingan utamanya dapat disimpulkan kepada 5 perkara seperti berikut:-
i. Ijazah mengandungi banyak maklumat terperinci tentang biografi (Riwayat hidup) . Biografi seseorang tokoh / perawi yang meriwayatkan perkataan, perbuatan,sifat – sifat dan taqrir Nabi Muhammad SAW dengan disebutkan nama, salasilah, gelaran dan pekerjaan mereka, di samping guru – guru yang pernah mereka menuntut ilmu daripadanya. Inilah yang boleh dikatakan sebagai sumber terhebat dan terunggul dalam Bibliografi Islam.
ii. Ia mengandungi maklumat sejarah yang bernilai berkenaan ulama’ , aktiviti intelek mereka, cara mereka mempraktikkan ilmu, pandangan dan pemikiran mereka
iii. Ia juga memberikan maklumat yang banyak tentang bandar – bandar yang menjadi pusat pengajian ilmu dan intelek pada zaman tertentu
iv. Di samping itu, ia juga mendedahkan kepada kita buku / kitab yang sering dipelajari dalam sesuatu subjek / matapelajaran tertentu
v. Akhir sekali, gambaran yang boleh didapati daripada kewujudan ijazah ialah perkembangan akademik Islam dan ia menjadi asas kepada kemunculan idea – idea dan teori – teori baru

3.0 Kepelbagaian Ijazah
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini dalam pembahagian jenis – jenis ijazah terdapat satu jenis ijazah yang dikenali sebagai Ijazah Khusus. Ijazah ini telah tersebar penggunaannya dalam pelbagai cabang ilmu terutamanya hadith dan bidang – bidang yang lain seperti kaligrafi, tariqah (religious order), sufisme, puisi / sajak, kesusasteraan, sains perubatan dan sains Islam yang lain. Selepas perkembangan awal ijazah dalam sejarah Islam dipelopori oleh bidang hadith, pengijazahan dalam bidang yang lain mula wujud dan berkembang.
Bagi ijazah dalam bidang kaligrafi yang begitu banyak jenisnya akan dianugerahkan kepada pelajar oleh seseorang profesor / pensyarah untuk melayakkan mereka bekerja sebagai penulis khat, penyalin / pencetak dan kerani di dalam pejabat kerajaan. Beberapa contoh boleh dijumpai berdasarkan ijazah ini seperti dalam Muradi’s Silk al – Durar fi A’yan al – Thani ‘Ashar dan dalam Ugur Derman’s Hattat Icazetnameleri . Ramai pelajar berminat untuk mendalami ilmu kaligrafi Islam dan mendapatkan ijazahnya kerana menyedari kepentingannya dalam pejabat – pejabat kerajaan dan menyalin buku – buku / kitab – kitab memandangkan mesin pencetakan belum wujud lagi (pada masa tersebut).
Ijazah dalam bidang tariqah kesufian pula begitu luas maknanya. Ia meliputi sudut fizikal dan spiritual. Seseorang syeikh akan mengurniakan ijazah kepada anak muridnya sama ada dari segi kuasa spiritual (akan menjadi pengganti syeikh) atau hak untuk mengajar buku – buku/ kitab – kitab yang berkaitan dengan kesufian. Sebagai contoh dalam menganugerahkan kuasa spiritual, ijazah Syeikh ‘Abbas Afandi dianugerahkan kepada Hafiz ‘Umar Afandi dalam tariqah Ummu Sinan, salah satu cabang Naqshibandiyyah, pada 1321 A.H., di Skopje (Dalam bahasa Turki, Uskup) . Dan juga satu contoh kebenaran yang diberikan untuk mengajar buku / kitab yang berkaitan dengan Sufisme iaitu ijazah Syeikh Nizamuddin Awliya dianugerahkan oleh syeikhnya Syeikh Faridud – Din Gani – Shakar yang juga mengurniakan kuasa spiritual kepadanya disamping kebenaran mengajar buku / kitab Tamhidi yang dikarang oleh Abu Shakur Salimi yang membicarakan tentang asas – asas Keimanan .
Pengurniaan Ijazah di dalam bidang puisi dan sajak pula boleh didapati dengan adanya contoh ijazah yang dianugerahkan oleh ‘Ali b Muhammad b Mahfuz al – ‘Alawi kepada anaknya Siddiq b ‘Ali pada 691 A.H dengan memberikannya kebenaran mengajar puisi ‘Umar b al – Farid. Sepertimana katanya:-
Wahai anakku, Siddiq ibn ‘Ali, pelajar yang berilmu, ‘adil dan bersemangat tinggi – Semoga ALLAH mengilhamkannya kebenaran dan jalan yang lurus untuk diikuti, dan melindunginya daripada bersama orang – orang yang berhak menerima kutukan dan azab seksaan – telah mempelajari puisi ‘Umar b al – Farid daripada saya kecuali satu puisi yang bermula dengan : Sa’iq al – Az’an Tatwy al – Bid Tay, maka, dengan ini saya memberi kebenaran kepadanya membacanya selepas saya sepertimana saya membacanya selepas Syeikh Fakhrud – Din al – Iraqi .

Bagi bidang perubatan, profesion dalam bidang ini mendapat kesedaran yang tinggi di dunia Islam semasa abad kesepuluh Masihi, seseorang penuntut perubatan / bakal doktor wajib lulus peperiksaan dan mendapat ijazah dan jika tidak, mereka tidak dibenarkan mempraktikkan ilmu ini. Kita boleh melihat contoh ijazah perubatan di dalam kitab Ibn Abi ‘Usaybi’ah’s Tabaqat al – Atibba’ .

4.0 Struktur dan Kandungan Ijazah
Satu skema umum disediakan untuk sesi ini yang mengandungi ciri – ciri lazim ijazah yang dikeluarkan di dalam Dunia Islam. Kebanyakan ciri – ciri ini menepati skema tersebut melainkan ada sedikit pengecualian..
1. Ijazah kebiasaannya akan dimulakan dengan Basmalah (Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani), diikuti dengan memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH (Hamdalah) dan pujian kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda (Selawat)
2. Pujian ke atas ilmu dan menyebut kepentingannya..Kemudian disebut potongan ayat – ayat al – Quran al – Karim dan Hadith Nabi SAW yang berkaitan dengan kepentingan ilmu pengetahuan; seperti ayat, “Katakanlah : Adakah sama orang – orang yang mengetahui dan orang – orang yang tidak mengetahui? .... , dan hadith yang bermaksud,”Sekiranya seseorang mengembara di atas jalan untuk mencari ilmu, ALLAH akan membukanya perjalanannya ke salah satu jalan menuju ke syurga” .
3. Menitikberatkan sanad . Inilah perkara yang sangat diutamakan oleh ulama’ Salaf dalam mengkaji sesuatu hadith, sama ada ia benar – benar datang dari Nabi SAW atau sebaliknya. Kemudian digunapakai oleh bidang – bidang yang lain bagi menjamin ketulenan, kesahihan dan kualiti ilmu yang disampaikan kepada umat Islam. Sepertimana kata ‘Abdullah b Mubarak : “Sanad itu sebahagian dari ad – Deen, sekiranya tidak kerana sanad, sesiapa pun akan bercakap apa sahaja yang dia mahu” .
4. Mengandungi nama profesor / pensyarah dan nama pelajar. Di sini profesor / pensyarah akan menyatakan nama pelajar yang akan dikurniakan ijazah. Perkembangan akademik pelajar juga diselitkan bagi menunjukkan kualiti ilmu seseorang pelajar. Selain itu, para profesor / pensyarah akan menggunakan peluang untuk melahirkan penghargaan kepada guru mereka sendiri dengan menyebutkan nasab ilmunya.
5. Nama buku – buku / kitab – kitab dan subjek yang dipelajari juga dinyatakan dalam ijazah
6. Rantaian penyampai / perawi sesuatu ilmu (silsilah) akan kembali kepada ALLAH SWT, kecuali ijazah dalam sesuatu buku / kitab, rantaian akan berakhir pada penulisnya. Walaubagaimanapun, bagi kitab hadith, ia akan kembali kepada orang yang mengumpul dan menulis hadith tersebut kerana hadith – hadith di dalam kitab ini mempunyai sebilangan para perawi yang berbeza dan ia akhirnya akan kembali kepada Rasulullah SAW. Selebihnya, menyatakan nama semua perawi yang hidup sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke zaman ulama’ yang mengumpul hadith – hadith adalah sesuatu yang sukar,dan sanad akan menjadi terlalu panjang di samping memerlukan masa yang banyak dan ruang yang besar (pada ijazah). Oleh itu, kadang – kadang hanya sebahagian nama perawi yang disebut (dengan keadaan tidak menjejaskan kekuatan sesuatu hadith).
7. Kemudian penganugerah (profesor / pensyarah) akan memberikan nasihatnya kepada pelajar bagaimana menggunakan ‘ilmu sebaik mungkin, mendidik bakal anak murid mereka, memainkan peranan sebagai seorang ulama’ di dalam masyarakat dan meminta pelajarnya supaya tidak melupakannya dan memohon mereka berdoa kepada ALLAH SWT untuk memberi keampunan kepadanya
8. Akhir sekali, ijazah lazimnya akan diakhiri dengan doa, tarikh dikeluarkan ijazah dan pengesahan dari profesor / pensyarah sama ada dengan tanda tangan, cop rasmi atau kedua – duanya. Namun, nama institusi / tempat pengajian jarang – jarang dinyatakan. Kecuali jika diadakan majlis rasmi (konvokesyen), nama tempat majlis diadakan akan disebut dan tempat pengajian secara tidak langsung dapat dikenalpasti. Begitu juga apabila disebut nama profesor / pensyarah, nama tempat pengajian juga dapat diketahui. Dengan cara ini, situasi geografi pengajian ilmu – ilmu Islam dapat digambarkan; di mana, bila, bagaimana dan subjek yang dipelajari, kedudukan tempat atau kawasan dari segi sosial dan politiknya yang bercahaya kerana padat dengan ilmu pengetahuan dan terkenal di dalam lipatan sejarah.

5.0 Perbezaan Utama Diantara Ijazah dan Sijil atau Diploma
Tradisi pengijazahan seperti yang disebutkan pada awal lagi telah bermula dan berkembang dalam Islam sejak kurun ke 4 A.H (kurun ke 10 Masihi). Dua kurun selepas itu, pada pertengahan kedua kurun ke 12, ia muncul pula di Latin Barat. Ia adalah lesen untuk mengajar yang dipanggil sebagai licentia docendi, yang sama maksudnya dengan ijazah. Namun, berdasarkan kepada pandangan George Makdisi, tiada satupun bukti pada zaman lampau / purba yang menunjukkan sama ada di Greece mahupun di Rom mengeluarkan lesen untuk mengajar (ijazah). Juga tiada ijazah yang dikeluarkan oleh Kristian Timur Byzantine yang sekalipun ia mempunyai pertalian terus dengan pendidikan klasik (Greece). Begitu juga hal yang sama berlaku pada sistem pendidikan Kristian Barat Latin. Ia hanya mula diperkenalkan Kristian Barat pada pertengahan kedua kurun ke 12, dari salah satu institusi – institusi yang wujud tanpa maklumat sejarah yang asli . Tetapi Daniel Haneberg, dalam kajiannya terhadap sistem pendidikan Islam telah mengeluarkan satu kenyataan yang menarik berkenaan ijazah. Katanya;” Saya merasakan lesen / sijil yang kita (Barat) keluarkan adalah bersumberkan dari institusi umat Islam” . Oleh itu, ianya satu kemungkinan besar bahawa licentia docendi berasal daripada ijazah.
Sebagai tambahan, peringkat perkembangan ijazah dan licentia docendi menurut George Makdisi sebenarnya tidak jauh berbeza dan beliau menerangkannya seperti berikut:-
From initial training in the literacy arts, to embarking on the long course of study leading to the mastership, passing through the ranks of scholar (mutafaqqih) and fellow (faqih), representing the undergraduate and graduate level, assisting the master as ordinary repetitor (mu’id) or extraordinary docent (mufid), including the work of building up repertories of disputed questions (masa’il khilafiyah, quaestiones disputatae), the student practice of quizzing one another (mudhakarah,collatio), disputing for practice with fellow students, or with masters in class (munazarah, disputatio), disputation based on the confrontation of conflicting opinions (khilaf, sic et non), and the mastery of dialectic (jadal, dialectica), and finally, obtaining the licence to teach (ijazah li at – Tadris, licentia docendi), and incepting by giving the inaugural lesson or lecture (dars iftitahi, inceptio) .
Hanya satu perbezaan ketara yang boleh dilihat bahawa perkembangan ijazah di dunia Islam terkehadapan lebih dari satu kurun sebelum kemunculan licentia docendi dari mana – mana bahagian pemerintahan Kristian Eropah. Inilah bentuk awal sijil yang terdapat di Barat. Tetapi jika dilihat pada sejarah, perkataan licentia docendi telah diubah menjadi elemen – elemen dalam sistem universiti; sijil, diploma, ijazah dan sebagainya. Seperti satu kes di Perancis, secara tradisionalnya, lesen mengajar adalah ijazah pertama dan latihan / pengajian untuk mendapatkan ijazah menjadi tanggungjawab sistem Pengajian Tinggi Perancis. Walaubagaimanapun, reformasi / perubahan pada diploma universiti Perancis bermula pada 1973 dan lengkap pada 1976, dan kedudukan licentia docendi berubah . Sebaliknya, ijazah dalam kehidupan pendidikan umat Islam tetap kekal seperti dahulu sehingga hari ini kecuali pada tempat – tempat tertentu.
Sekarang kita lihat pula perbezaan utama diantara ijazah dan sijil atau diploma yang digunapakai pada hari ini. Perbezaan ini dapat diringkaskan kepada tiga perkara utama:-
a. Pertama, keunikan ciri pendidikan Islam itu sendiri yang menunjukkan bahawa bukanlah tanggungjawab institusi pendidikan Islam untuk menganugerahkan sijil akademik. Ia adalah tanggungjawab profesor / pensyarah untuk mengurniakannya apabila seseorang pelajar tamat mempelajari satu – satu subjek atau sesebuah buku / kitab. Ini semua bergantung kepada pencapaian pelajar sama ada mereka benar – benar layak untuk mempraktikkannya, mengajar dan menyampaikan segala material yang dipelajari kepada pelajar yang lain. Tiada cop rasmi atau pengesahan dari institusi (universiti) di tempat profesor / pensyarah mengajar akan diminta untuk mengesahkan seseorang pelajar itu layak menerima ijazah. Inilah fakta yang jelas bahawa ijazah di dalam pendidikan Islam adalah tanggungjawab individu profesor / pensyarah bukan universitit. Selagi mana beliau sedar tanggungjawabnya, kualiti pendidikan dan akademik umat Islam akan tetap terpelihara. Berbeza dengan situasi ini, institusi pendidikan di Barat hanya mementingkan sijil dan penganugerahan gelaran akademik dan ijazah. Tanggungjawab profesor / pensyarah dalam hal ini seolah – olah pada kelas kedua. Perkara ini mendatangkan masalah apabila sesebuah kelas / dewan kuliah di universiti mempunyai saiz yang besar dan pelajar yang ramai. Sudah tentu dari segi praktikalnya, amat mustahil bagi seseorang profesor / pensyarah mengetahui sejauh mana pencapaian para pelajarnya dan di manakah tahap yang sesuai untuk mengurniakan ijazah kepada mereka. Maka, hubungan intelektual diantara profesor / pensyarah dan para pelajar mereka tidak wujud. Hanya pelajar pada peringkat postgraduate (sarjana, PhD dll) yang mempunyai hubungan baik dengan profesor / pensyarah mereka.
b. Kedua, selain subjek / mata pelajaran (madah) yang dipelajari disebut di dalam ijazah, buku / kitab yang tamat dipelajari dan berjaya dihabiskan juga dinyatakan bersama – sama rantaian perawi / penyampai (silsilah) buku tersebut hingga akhirnya kembali kepada penulis asal buku / kitab tersebut. Sedangkan sijil, diploma atau ijazah (hari ini) hanya menyatakan subjek yang telah dipelajari, tiada nama buku / kitab, penulisnya dan rantaian perawi / penyampai dilampirkan bersama.
c. Ketiga, perbezaan dari segi bentuk. Umumnya ijazah dalam pendidikan Islam dianugerahkan dalam bentuk buku yang kadang – kadang mengandungi 20 muka surat dan lebih. Tetapi sijil, diploma dan ijazah hari ini (berdasarkan pendidikan Barat) dikeluarkan dalam bentuk satu gulungan (scroll) yang hanya mengandungi satu muka surat.


0 Responses to “TRADISI PENGANUGERAHAN IJAZAH DALAM PENDIDIKAN ISLAM”

Leave a Reply

      Convert to boldConvert to italicConvert to link

 


About me

  • I'm UmmuWalid
  • From Gemencheh, Negeri Sembilan, Malaysia
  • My profile

Previous posts

Archives

Links

    .: TINTA UKHUWWAH MANAGEMENT:.


      Perhatian sahabat - sahabat sekalian...


      KELAS PENGAJIAN IBN KATHIR (KPIK), Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh akan menganjurkan KELAS PENGAJIAN AL-QUR'AN, HADITH DAN BAHASA ARAB. Kelas lebih kepada bentuk diskusi yang akan dikendalikan oleh tenaga pengajar lulusan UIAM dan Al-Azhar, Mesir.


      Image Hosted by ImageShack.us

      Image Hosted by ImageShack.us
      Name:
      Location: Gemencheh, Negeri Sembilan, Malaysia


    Image Hosted by ImageShack.us





        Image Hosted by ImageShack.us
        ::TAKALLAM MA'IE::




    Free Image Hosting at www.ImageShack.us


    Image Hosted by ImageShack.us





    Counter
    hit Counter


















    Image Hosted by ImageShack.us























    Whenever a friend succeeds, a little something in me dies. -Gore Vidal What is a friend? A single soul dwelling in two bodies... -aristotle Silence is the true friend that never betrays. -Confucius The loneliest woman in the world is a woman without a close woman friend. -George Santayana What is a friend? A single soul dwelling in two bodies... -aristotle

    HAIRIL IRZA RAMLI