Oleh: Hairil Irza bin Ramli, UIAM
PERKARA-PERKARA PELIK YANG TERDAPAT DI DALAM BUKU INI
1. “Mengakhiri mana-mana wirid dengan membaca Fatihah Hadiah sebagai Tabarruk (mengambil berkat) kepada Rasulullah SAW, sahabat-sahabat r.a, Auliaillahissolihin, ibubapa dan arwah muslimin muslimat dan mukminin mukminat” (muka surat 7).
2. “Apa juga wirid dan do’a yang disusun mereka (para ulama’ dan orang-orang salih), walaupun tidak diketahui bahasa dan maknanya umpama bahasa Siryani dan Ibrani sah diamalkan” (muka surat 13).
3. “.......pohon Allah kurniakan berhubung diri Rohani Jasmani dengan Sultan Aulia’ Syed Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani dan pohon Allah kurniakan perhubungan itu sampai kepada Rasulullah SAW”(muka surat 14).
4. “Pandang di belakang mereka Saidina ‘Ali Karamullahu Wajhah dan sekalian para sahabat r.a” (muka surat 14).
5. “Kelebihan seumpama Allah kurniakan pada tangan Guru aku yang Wali Sultan Aulia’ Syed Syeikh Mahyuddin Abdul Qadir Jailani...”(muka surat 14).
6. “Segala batang tengkuk mereka itu berada di bawah tumit kiri Guru Aku, di bawah tumit kiri aku selama-lamanya” (muka surat 15).
7. “Seterusnya dibaca doa berikut sebanyak tiga kali: Bismillahirrahmanirrahim..Bangsa lautan bangsa daratan, kamu kena beralih dengan pesanan wali dan keramat kalau kamu tidak beralih, kamu kena hancur seumpama garam hancur kena air mutlak”. (muka surat 23).
8. “.....Diisyaratkan oleh Tuan Guru Syeikh Yusuf Kenali kepada Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Osmani, pandang dengan mata hati (bashirah) berhubung tangan dengan Sultan Aulia’ Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani mengaku menjadi murid baginya walau beberapa banyak dosa kesalahan, pohon diterima menjadi murid baginya selama-lamanya di dunia dan di akhirat dan mengaku menerima Pusaka Khalifah Wali Agama Islam di atas makna sekeliannya dan juzuk-juzuknya daripada baginda seumpama baginda menerima daripada Rasulullah SAW, seumpama Rasulullah SAW menerima daripada Allah SWT. Syeikh Yusuf Kenali menerima talqin tersebut daripada gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathoni.Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathoni menerima talqin tersebut daripada Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani dengan wasitah Khidir Alaihissalam. Syeikh Muhyiddin menerima talqin tersebut daripada Syaidul Akwan Wasuratul Maadati Tajaaliyatilhak Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam” (muka surat 27).
9. “Adam wa Hawa Waliyullah (2X)” (muka surat 30).
10. “Abu Bakar, Umar, Usman, Ali Zuhdi Waliyullah (2X)” (muka surat 30).
11. “Abdul Qadir Khalifatullah, Abdul Qadir Waliyullah (2X)” (muka surat 30).
JAWAPAN DAN HUJAH TERHADAP DAKWAAN
a) Menghadiahkan Al-Fatihah kepada Rasulullah SAW, sahabat-sahabat r.a, Auliaillahissolihin, ibubapa dan arwah muslimin muslimat dan mukminin mukminat sebagai mengambil berkat (tabarruk) daripada mereka. Tidak terdapat di dalam mana-mana nas sama ada dari Al-Qur’an dan Hadith Rasul SAW menyatakan seseorang yang menghadiahkan Al-Fatihah kepada golongan manusia yang disebut di atas akan mendapat keberkatan. Bahkan mengakhiri wirid dengan Al-Fatihah juga satu hal yang direka-reka. Sedangkan Rasulullah SAW selalu mengakhiri sesuatu majlis dengan membaca Tasbih Kaffarah.
مَا جَلَسَ رَسُوْل الله (ص) مَجْلِسًا, وَلاَ تَلَى قُرْانًا, وَلاَ صَلَّى صَلاَةً إِلاَّ خَتَمَ ذَلِكَ بِكَلِمَاتِ "سُبْحاَنَكَ
اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ, أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ, أَسْتَغْفِرُكَ وَأتٌوْبُ إِلَيْكَ" (أخرجه أصحاب السنن)
“Tidaklah Rasulullah SAW duduk di dalam sesuatu majlis, beliau tidak membaca Al-Quran, tidak solat kecuali beliau mengakhiri majlis tersebut dengan kalimah Subhanakallahumma wabihamdik asyhadu an lailaha illa anta, astaghfiruka wa atubu ilaik” (Hadith Sahih daripada Saidatina ‘Aisyah r.a. Dikeluarkan oleh Ashabul Sunan).
Jelas, nabi SAW sendiri di dalam hadith ini tidakpun mengakhiri sesuatu majlis dengan bacaan Al-Qur’an. Maka, dakwaan mengatakan mengakhiri wirid atau apa jua majlis dengan Al-Fatihah (salah satu surah di dalam Al-Qur’an) adalah perkara yang ditolak. Sesungguhnya petunjuk Rasulullah SAW lah yang paling benar.
b) Mendakwa wirid dan do’a yang direka dan disusun oleh para ulama’ dan orang-orang soleh selain daripada bahasa ‘Arab sah diamalkan sekalipun tidak mengetahui maknanya. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya” (Yusuf: 2).
Sabda Rasulullah SAW:
الدُعَاء هُوَ العِبَادَة (رواه الترمذي, ابن ماحه و أحمد)
“Do’a adalah ‘ibadah” (Riwayat At-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad)
Kata Al-Imam Asy-Syatibi r.h: “Oleh kerana Ar-Rasul SAW telah diutuskan kepada semua manusia, maka sesungguhnya Allah telah menjadikan kesemua umat dan segala bahasa mengikuti akan bahasa ‘Arab dalam perkara agama. Dengan demikian itu, maka tidaklah boleh difahamkan Kitabullah melainkan dengan cara yang ia telah diturunkan dengannya iaitu ibarat dari segi lafaz, makna dan uslub penyampaiannya” (Al-‘Itisom, juzuk 2, muka surat 294).
Adakah dibenarkan seseorang yang bergelar Tuan Guru, Syeikh atau orang ‘Alim membuat satu do’a yang bukan daripada bahasa ‘Arab dan menyatakan ianya sah diamalkan? Adakah mereka ini Nabi ataupun Rasul yang mempunyai hak menyatakan ini sah, ini tidak sah diamalkan. Siapa yang boleh menjamin pahala bagi sesiapa yang membacanya? Adakah mereka boleh memberi pahala kepada pengikutnya. Do’a adalah ibadah dan perkara ibadah adalah tawqifi iaitu cara pelaksanaannya mestilah terikat dengan nas Al-Qur’an mahupun hadith baginda Rasul SAW. Sekiranya semua umat manusia dibenarkan membuat sesuka hati do’a dalam bahasa masing-masing, maka tiada nilai do’a-do’a yang didatangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an dan apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadithnya. Adalah tidak masuk akal jika Tuan Guru, Syeikh atau orang ‘Alim yang dikatakan mempunyai ‘ilmu yang mantap dan banyak di dalam agama mengutamakan do’anya berbanding do’a yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Sepatutnya dia berusaha bersungguh-sungguh mengajar pengikutnya do’a-do’a yang ma’thur. Ini berbeza daripada segelintir orang awam yang sememangnya tidak tahu membaca Al-Qur’an atau muallaf yang baru mengenal Islam untuk berdo’a di dalam bahasa mereka sekadarnya.
c) Do’a untuk berhubung dengan orang yang telah meninggal dunia secara zahir dan batin. Hal ini termasuk di dalam Yaqadzah yang diamalkan oleh ajaran sesat Al-Arqam. Yaqadzah bermaksud jaga, yakni lawan pada 'tidur'. Maksudnya menurut ilmu tariqat/silat kebatinan ialah si fulan boleh menemui orang yang sudah mati secara realiti. Al-Imam as-Suyuthi r.h (wafat 911 Hijrah) menyokong perkara ini tetapi bukanlah bermakna beliau menyokong ajaran itu, tapi menyokong kemungkinan seseorang boleh menemui Nabi SAW dalam keadaan yaqadzah (jaga) bukan mimpi tapi bukannya menerima aurad atau ajaran tambahan dalam agama. Tariqat/silat kebatinan selalunya mendakwa Syeikh atau Tuan Gurunya menemui Nabi SAW dalam keadaan jaga dan menerima aurad (kumpulan wirid-wirid) serta syari’at yang baru. Ada kumpulan yg mencipta majlis Yaqadzah, di mana syeikh mereka yang sudah mati akan menjelma secara realiti untuk membersihkan dosa-dasa pengikutnya. Yaqadzah yang dianuti oleh ajaran tariqat/silat kebatinan begini adalah sesat.
d) Mengutamakan Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a di beberapa tempat dalam buku ini. Ini sedikit sebanyak mengandungi unsur-unsur ajaran Syi’ah. Agak menghairankan juga jika dilihat pada muka surat 5 di dalam buku ini, apabila penulis berkenaan menyenaraikan semua I’tiqad Sesat, tiada tertulis golongan Syi’ah salah satu daripada mereka. Adakah terlupa ataupun tertinggal?.
e) Mengaku Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani sebagai guru sedangkan beliau telah lama meninggal dunia iaitu pada 561 Hijrah/1140 Masihi (Dilahirkan pada 470 Hijrah/1049 Masihi di Jilan. Mempelajari Fiqh Hanbali dan pengasas tariqat al-Qadiriyyah. Pernah bertugas di Baghdad sebagai pendakwah). Bagaimana orang yang telah mati mengajar orang yang hidup? Adakah melalui ruhnya yang datang di dalam mimpi? Ingatlah, urusan ruh adalah urusan Tuhan. Bukan urusan anda. Rasulullah SAW sendiripun tidak tahu perkara ghaib. Firman Allah:
“(Katakan Wahai Muhammad): Dan Aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah Aku mendakwa mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Aku tidak mengatakan Bahawa Aku ini Malaikat…….” (Hud: 31).
f) Segala nasib musuh (batang tengkuk mereka) berada di bawah tumit kiri (kekuasaan) Guru yakni Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Ini adalah kedudukan yang melampau diberikan kepada seseorang manusia. Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umat Islam melampau dalam memujinya. Sabda baginda SAW:
لاَ تَطْرُوْنِيْ كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ, إِنَّمَا أَنَا عَبْدٌ فَقُوْلُوْا عَبْدُ اللهُ وَرَسُوْلٌهٌ (رواه البخاري ومسلم)
“Janganlah kamu meninggikan aku sebagaimana kaum Nasrani meninggikan (Isa) anak Maryam. Sesungguhnya aku (hanyalah) hamba Allah maka katakanlah olehmu (bahawa aku ini adalah) hamba Allah dan Rasul-Nya” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Allah SWT juga merakamkan kepada kita di dalam Al-Qur’an bahawa Nabi SAW adalah manusia biasa yang menerima wahyu. Baginda tiada kuasa menentukan nasib manusia kerana ia adalah hal Allah SWT.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya" (Al-Kahfi: 110).
Kata Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah r.h: “Sesiapa yang melebihkan seseorang syeikh/tuan guru daripada Nabi SAW atau beri’tiqad bahawa seseorang tidak perlu taat kepada Rasulullah SAW diminta bertaubat, jika dia tidak bertaubat, dipancung kepalanya” (Majmu’ Al-Fatawa, juzuk 2, muka surat 259).
g) Beranggapan bahawa sesuatu itu akan hancur jika tidak beralih kepada pesanan wali dan keramat.
“Apa jua kebaikan (Nikmat kesenangan) yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. dan Kami telah mengutus Engkau (Wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)” (An-Nisaa’: 79)
Firman Allah SWT di atas sangat terang kepada kita bahawa segala manfaat dan mudharat adalah datangnya daripada Allah SWT. Bukan dengan kehendak wali mahupun karomahnya.
h) Syeikh menerima talqin melalui perantaraan Nabi Khidir a.s. Paling merbahaya, dakwaan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani bertemu Rasulullah SAW untuk menerima talqin yang direka-reka. Sanad talqin ini secara jelas adalah PALSU. Pertama, bagaimana Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathoni menerima talqin tersebut daripada Syeikh Abdul Qadir al-Jilani? Adakah mereka berdua pernah bertemu? Mengapa melalui Nabi Khidir a.s? Bagaimana pula Nabi Khidir a.s bertemu mereka berdua sedangkan baginda a.s hidup pada zaman Nabi Musa a.s? Adakah baginda a.s masih hidup? Jika benar, baginda wajib mengikuti syari’at Nabi Muhammad SAW kerana Rasulullah SAW diutuskan untuk semua manusia. Kedua, sepertimana yang kita semua maklumi, bahawa Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani bukan seorang sahabat Nabi SAW kerana beliau tidak pernah bertemu baginda SAW. Menurut Imam Ibn Hajar Al-‘Asqalaniy r.h (wafat 852 H) di dalam kitabnya Al-Ishabah m.s 4, juzuk1, definisi sahabat adalah Sesiapa yang bertemu Nabi SAW, beriman dengan baginda dan mati dalam iman. Dr. Muhammad ‘Ajaj Khatib mengatakan di dalam Usul Al-Hadith bahawa pendapat ini merupakan pendapat kebanyakan ulama’. Rasulullah SAW wafat pada tahun 10 Hijrah manakala Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani r.h lahir pada 470 Hijrah dan wafat pada 561 Hijrah. Jelas, mereka tidak pernah bertemu. Jadi, bagaimana dakwaan buku ini bahawa talqin ini diambil daripada Nabi SAW? Ia adalah dakwaan kosong dan direka-reka.
Kita percaya apabila ditanyakan kepada pertubuhan silat ini, mereka akan mengatakan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani r.h bertemu Rasulullah SAW di dalam mimpi ataupun ilham. Ini merupakan hujah yang sangat samar dan tidak jelas kerana mimpi dan ilham boleh jadi benar ataupun salah. Firman Allah SWT:
“Dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa Yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” (Qaaf: 16)
“...dan Sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu” (Al-An’am: 121).
Kata Al-Imam Asy-Syatibi r.h: “Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid’ah) ialah puak yang mengambil amalan agama berdasarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: Kami bermimpi lelaki soleh tertentu berkata kepada kami: ‘Tinggalkan ini,buat ini’. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: ‘Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepadaku sebegini dan memerintah aku begini’. Lantas diapun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang telah ditetapkan oleh syari’at. Ini adalah salah kerana mimpi selain para Nabi tidak boleh menghukum ketetapan syara’, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syari’at yang ada. Jika dibolehkan, maka ia diamalkan, jika tidak ia ditinggalkan” (Al-‘Itisom, muka surat 198).
Benar, kita boleh melihat Rasulullah SAW di dalam mimpi. Sepertimana sabda baginda SAW:
مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَيْطَانَ لاَ تَمَثَّلُ بِيْ (رواه البخاري, مسلم, أبو داود و الترمذي)
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi,maka hakikatnya dia melihatku kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan At-Tirmidzi).
Namun, perlu diingat bahawa syaitan boleh menyerupai orang lain yang orang tersebut mengaku dirinya adalah Nabi SAW. Sekiranya di dalam mimpi, orang yang ditemuinya memberikan beberapa wirid, zikir mahupun amalan tertentu dan mendakwa ianya sah diamalkan maka,orang yang ditemuinya itu bukan Nabi SAW kerana tidak mungkin Nabi SAW akan memberikan panduan baru di dalam Islam sedangkan agama telah lengkap semasa kewafatan baginda SAW. Al-Imam An-Nawawi r.h ketika mensyarahkan hadith ini menyebut: “Sesungguhnya makna hadith ini ialah dalam mimpinya yang betul dan bukan mengigau atau gangguan syaitan. Tetapi tidak dibenarkan menetapkan mana-mana hukum syara’ dengan apa yang datang di dalam mimpi itu kerana keadaan tidur bukanlah satu keadaan yang tetap/sedar dan boleh dipersaksikan (oleh orang lain) akan apa yang telah didengari oleh orang yang bermimpi” (Muqaddimah Syarah Sahih Muslim, Al-Minhaj, juzuk 1, muka surat 115). Bahkan Al-Imam An-Nawawi r.h juga mensyaratkan orang yang bermimpi tersebut adalah orang yang komited dengan ajaran Islam dan soleh serta bukanlah seorang yang lalai, putar-belit dan gemar melakukan perbuatan yang menjatuhkan maruah seperti merokok.
Manakala persoalan bahawa nabi Khidir a.s hidup selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah dakwaan dangkal. Tidak mungkin beliau a.s hidup dan menjadi orang tengah antara Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathoni dan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Firman Allah SWT:-
“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). maka kalau Engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), Adakah mereka akan hidup selama-lamanya?” (Al-Anbiyaa’: 34).
Kata Al-Imam Ibn Kathir r.h: “Ulama’ Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil ayat ini sebagai dalil bahawa Nabi Khidir a.s sudah wafat dan beliau tidak hidup lagi pada hari ini kerana dia adalah manusia, sama ada beliau seorang wali, atau Nabi ataupun Rasul” (Tafsir Ibn Kathir, juzuk 3, muka surat 225).
Manakala di dalam satu hadith, baginda Rasul SAW bersabda:
فَإِنَ عَلَى رَأْسِ ماِئَةَ سَنَةٍ مِنْهَا لاَ يَبْقَى عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ مِمَّنْ هُوَ اليَوْمَ عَلَيْهَا أَحَدٌ (رواه البخاري و مسلم).
“Sesungguhnya setiap seratus tahun, tidak ada seorangpun pada hari ini yang masih hidup lagi di atas muka bumi” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Berpandukan hadith di atas, umur manusia jarang-jarang akan melebihi seratus tahun. Jika dilihat kepada kisah Anbiya’ di dalam Al-Qur’an terutamanya di dalam surah Al-Kahfi dari ayat 60 hingga 82, secara terang menunjukkan bahawa Nabi Khidir a.s hidup sezaman dengan Nabi Musa a.s. Menurut Syeikh Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily, jarak antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Isa a.s adalah 1800 tahun manakala jarak Nabi Isa a.s dengan Nabi Muhammad SAW adalah 600 tahun. Ringkasnya, anggaran jarak Nabi Khidir a.s dengan Nabi Muhammad SAW adalah 2400 tahun (1800+600 tahun). (Tafsir Al-Munir, juzuk 3,muka surat 213).
Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani pula hidup sekitar tahun 500 hijrah dan jarak antara kewafatan Nabi SAW dengan beliau ialah 490 tahun kerana baginda SAW wafat pada 10 Hijrah. Maka, umur Nabi Khidir a.s ketika menjadi ‘orang tengah’ dalam pemberian talqin silat abjad ialah 2890 tahun (2400 +490 tahun). Jadi, adakah umur sebegini selari dengan kehendak nas dan logik pada akal yang sihat?.
Setelah diteliti sanad talqin ini, didapati ianya tidak sah dan tidak boleh diamalkan kerana terputusnya rangkaian sanad terutama diantara Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani dan Rasulullah SAW. Bahkan dimaklumi bahawa, Syeikh Abdul Qadir bukanlah seorang periwayat hadith dan bukan dari kalangan sahabat baginda SAW. Maka, menyandarkan ianya kepada Rasulullah SAW adalah perkara yang merbahaya kerana termasuk dalam pendustaan atas nama baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ كَذِباً عَلَيَّ لَيَْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَّبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ الناَرِ (رواه البخاري و مسلم, وهذا الحديث متواتر)
“Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Hadith ini mutawatir).
i) Dakwaan Adam dan Hawa sebagai wali. Adam merupakan Nabi Allah SWT dan Hawa adalah isterinya. Tiada dalil menyatakan beliau adalah wali.
j) Dakwaan Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a wali. Sedangkan dalam lipatan sejarah Islam, beliau r.a adalah seorang Khalifah terakhir daripada Khulafa’ Ar-Rasyidin.
Setakat baca dan komen di sini boleh menyebabkan fitnah berpanjangan, sepatutnya bermuzakarah dengan Guru utamanya yg ahli dalam babnya. Kalau rasa berada di pihak yg benar, tak perlu takut berhadapan dan kalah hujah demi agama Islam yg suci dan benar.
Setakat baca dan komen di sini boleh menyebabkan fitnah berpanjangan, sepatutnya bermuzakarah dengan Guru utamanya yg ahli dalam babnya. Kalau rasa berada di pihak yg benar, tak perlu takut berhadapan dan kalah hujah demi agama Islam yg suci dan benar.